Followers

Tuesday, May 29, 2018

PBS (Pernyataan Profesional- Sebelum, Semasa, Selepas PBS)


Salam.. 
Harini saya ingin berkongsi tentang pengalaman PBS di SK Taman Ehsan. Penulisan ini saya kongsi untuk melengkapkan folio PBS yang merupakan salah satu tugasan yang perlu diselesaikan. Moga bermanfaat.

2.0       PERNYATAAN PROFESIONAL


2.1       SEBELUM PBS


Sebelum Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dijalankan, taklimat berkaitan dengan PBS daripada En. Johari selaku pensyarah penyelaras PBS daripada Unit Praktikum telah disampaikan kepada semua guru pelatih yang bakal terlibat dalam PBS. Taklimat PBS dijalankan pada 14 Mac 2018 di Dewan Zaaba, IPG KBM. Sebagai pengalaman buat pertama kali kepada semester 2 melibatkan diri dalam PBS, maka taklimat sebegini amat membantu untuk memberi kefahaman kepada guru pelatih tentang alam persekolahan yang sebenar dan membentuk pemikiran perspektif seorang guru.

Secara konseptualnya, fokus utama PBS memberi kefahaman dan pengalaman awal kepada bakal guru tentang sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang guru. Semua ini bakal diperoleh melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru serta komuniti sekolah. Teras utama bagi menjalankan segala amalan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran adalah berkiblatkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendek kata, PBS mendidik guru pelatih mendalami alam persekolahan dengan lebih mendalam secara pemerhatian dengan lebih jelas berbanding pembelajaran teori sebelum ini.

Seterusnya, fokus utama tugasan PBS adalah memastikan guru pelatih dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya sekolah. Bermula dari hari pertama sehinggalah hari terakhir PBS, guru pelatih dapat menilai setiap budaya yang diamalkan di sekolah tersebut. Selain itu, PBS juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal tentang pembelajaran murid, dan membantu guru pelatih untuk memahami pengurusan strategi pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini diperoleh melalui pemerhatian temu ramah bersama murid dan guru-guru sekolah. Secara tidak langsung, pengalaman kemahiran berinteraksi dengan murid, guru dan kakitangan sekolah dapat dicapai. Di samping itu, kemahiran inkuiri penemuan dan kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal dapat dibina melalui PBS yang akhirnya membolehkan guru pelatih membina sikap positif terhadap profesion keguruan.

Tujuan PBS kali ini dijalankan bagi membincangkan hasil aktiviti PBS semasa interaksi kuliah dalam kursus asas pendidikan iaitu Murid dan Pembelajaran. Segala maklumat berkaitan Murid dan Pembelajaran menjadi intipati dalam tugasan PBS kali ini. Oleh itu, saya merancang untuk menjalankan pemerhatian, temu bual dan membuat perbincangan tentang alam persekolahan dan persoalan yang diperlukan dalam tugasan kerja kursus kali ini. Tugas hakiki yang sudah pasti adalah melengkapkan portfolio sepertimana garis panduan yang disenarikan oleh Unit Praktikum. Lantaran itu, sebelum menjalani PBS, saya perlu mengenal pasti borang-borang penting yang perlu difahami dan diisi bagi memudahkan proses semasa PBS berlangsung nanti.

Selain itu, refleksi perlu dibuat setelah PBS ini dijalankan bagi menyemai kembali pemahaman tentang tugas dan tanggungjawab seorang guru. Ini merupakan salah satu instrumen penilaian kendiri bagi mendapat pengajaran daripada hasil PBS yang dijalankan. Setelah itu, pengalaman yang diperoleh perlulah didokumentasikan untuk perbincangan semasa sesi refleksi di IPG nanti. Memang tidak dinafikan pengalaman pertama kali PBS seorang diri menimbulkan perasaan gentar. Namun, PBS ini adalah landasan untuk membiasakan suasana persekolahan dan cara PdP berlangsung dengan sebenarnya. Oleh itu, tidak menjadi masalah jika saya ditempatkan untuk mengajar di kawasan bandar mahupun di kawasan pedalaman kerana pengalaman PBS cuba mengajar kita untuk lebih mahir dalam bidang perguruan.

Sebagai intiha bicara, saya akan menjalankan PBS di SK Taman Ehsan Selangor bermula 26.03.2018 sehingga 30.03.2018. Persediaan rapi perlu diaturkan dari aspek persepsi komuniti sekolah terhadap kita iaitu cara pemakaian seorang guru, tingkah laku dan adab berkomunikasi supaya melambangkan perwatakan seorang guru yang bersahsiah terpuji. Setelah berjaya mendekati komuniti sekolah, barulah strategi pelaksanaan diatur untuk mencapai objektif tugasan PBS. Akhirnya, membuat penilaian kendiri dari aspek yang perlu diperbaiki dalam diri kita sebagai bakal guru. Amatlah diharapkan bahawa saya dapat menjalankan PBS dengan sebaik mungkin dan melengkapkan tugasan dengan cemerlang.

            2.2       Semasa PBS

Semasa sedang menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah melakukan beberapa pemerhatian mengenai sekolah yang telah saya pilih. Saya telah melakukan kajian mengenai pengurusan sekolah. Sekolah ini diuruskan oleh 4 orang pentadbir yang berkarisma dan berwibawa dalam memastikan pengurusan sekolah berjalan dengan lancar. Jawatan-jawatan penting seperti Guru Besar, Penolong Kanan 1,Penolong kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum dipegang oleh guru lelaki serta seorang guru perempuan. Guru-guru yang mengajar di sekolah ini juga majoritinya adalah guru wanita.
           
            Semasa menjalani PBS, saya telah melakukan beberapa pemerhatian mengenai pengurusan bilik darjah, dengan kerjasama yang diberikan pihak sekolah saya dapat memasuki kelas 5 Bestari dan 3 Bestari. Setiap darjah hanya mempunyai 1 kelas setiap satu kecuali darjah 6 mempunyai 2 buah kelas. Melalui pemerhatian tersebut, saya dapat menyelesaikan sebahagian soalan yang berkaitan dengan tugasan PBS. Bagi menyiapkan keseluruhan tugasan ini, saya turut menemubual guru kelas tahap dua serta guru penanda kertas peperiksaan UPSR bagi menjawab soalan yang terdapat dalam tugasan tersebut. Selain itu, semasa PBS juga saya turut melakukan tugasan Psikologi Pendidikan EDM 2203, tugasan ini mengkehendaki saya melakukan perbezaan murid ekstrovert dan juga introvert.




            2.3       Selepas PBS

Selepas menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah mengumpul dan mengemaskinikan maklumat-maklumat yang telah saya berjaya kumpulkan semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Saya turut menjumpai beberapa ilmu pengetahuan yang berguna dan boleh saya gunakannya di masa hadapan kelak. Saya telah mempelajari mengenai teknik bertanya yang betul dan berkesan yang boleh digunakan apabila ingin mendapatkan sebarang maklumat daripada mana-mana pihak. Teknik bertanya yang betul dapat membantu saya untuk memperolehi maklumat yang saya perlukan dengan cepat dan mudah. Berdasarkan teknik bertanya yang telah saya perolehi ini, saya dapat simpulkan bahawa apabila kita menghormati seorang manusia dengan baik, maka kita akan mendapat penghormatan yang setimpal dan begitulah sebaliknya.

Selain itu, saya juga mendapat input yang sangat berguna semasa berjumpa dengan Guru Besar, banyak nasihat yang diberikan kepada saya bagi menjadi seorang guru yang dapat membentuk dan membantu anak didik yang bakal menerajui negara kelak. Tambahan lagi, beliau turut mengingatkan saya agar sentiasa berkongsi ilmu yang berguna agar ilmu yang berada di dada kita sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Nasihat beliau, seorang yang kedekut ilmu, seorang yang sangat rugi sebenarnya. Di samping itu, beliau turut mengingatkan saya, walau ditempatkan di bandar mahupun pedalaman, janganlah menganggap semua itu sebagai beban, jadikanlah ia sebagai satu ibadah kita sesama manusia.

            Selain itu, saya juga dapat membuat analisis bahawa persekitaran sekolah serta pengurusan bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam membina perkembangan murid-murid sama ada dari segi Jasmani, Intelek, Rohani, Emosi mahupun Intelek. Persekitaran sekolah dan pengurusan bilik darjah yang menarik dapat mendorong perasaan ingin belajar kepada murid-murid. Murid-murid akan merasa tertarik untuk hadir ke sekolah dan seterusnya terdorong untuk belajar. Kemudahan yang mencukupi juga adalah perlu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  Kemudahan yang tidak mencukupi akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran yang ingin dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah.

            Tambahan lagi, ruang pembelajaran yang sempit dan tidak terurus akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang dilakukan. Keadaan kelas yang mempunyai bilangan murid-murid yang ramai serta saiz kelas yang kecil akan menimbulkan keadaan tidak selesa kepada murid-murid. Guru-guru yang masuk ke kelas juga akan merasa tidak selesa kerana terpaksa bergerak di dalam ruang yang kecil serta terpaksa mengawasi murid-murid yang ramai.


No comments:

Post a Comment