Salam..
Harini saya ingin berkongsi tentang pengalaman PBS di SK Taman Ehsan. Penulisan ini saya kongsi untuk melengkapkan folio PBS yang merupakan salah satu tugasan yang perlu diselesaikan. Moga bermanfaat.
2.0 PERNYATAAN PROFESIONAL
2.1 SEBELUM PBS
Sebelum Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dijalankan, taklimat berkaitan dengan
PBS daripada En. Johari selaku pensyarah penyelaras PBS daripada Unit Praktikum
telah disampaikan kepada semua guru pelatih yang bakal terlibat dalam PBS.
Taklimat PBS dijalankan pada 14 Mac 2018 di Dewan Zaaba, IPG KBM. Sebagai
pengalaman buat pertama kali kepada semester 2 melibatkan diri dalam PBS, maka
taklimat sebegini amat membantu untuk memberi kefahaman kepada guru pelatih
tentang alam persekolahan yang sebenar dan membentuk pemikiran perspektif
seorang guru.
Secara konseptualnya, fokus utama PBS memberi kefahaman dan pengalaman awal
kepada bakal guru tentang sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid,
pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang guru. Semua ini bakal
diperoleh melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan
guru serta komuniti sekolah. Teras utama bagi menjalankan segala amalan dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran adalah berkiblatkan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Pendek
kata, PBS mendidik guru pelatih mendalami alam persekolahan dengan lebih mendalam
secara pemerhatian dengan lebih jelas berbanding pembelajaran teori sebelum
ini.
Seterusnya, fokus
utama tugasan PBS adalah memastikan guru pelatih dapat memahami dan
menyesuaikan diri dengan budaya sekolah. Bermula dari hari pertama sehinggalah
hari terakhir PBS, guru pelatih dapat menilai setiap budaya yang diamalkan di
sekolah tersebut. Selain itu, PBS juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal
tentang pembelajaran murid, dan membantu guru pelatih untuk memahami pengurusan
strategi pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini diperoleh melalui pemerhatian
temu ramah bersama murid dan guru-guru sekolah. Secara tidak langsung,
pengalaman kemahiran berinteraksi dengan murid, guru dan kakitangan sekolah dapat
dicapai. Di samping itu, kemahiran inkuiri penemuan dan kemahiran berfikir
secara kritis dan analitikal dapat dibina melalui PBS yang akhirnya membolehkan
guru pelatih membina sikap positif terhadap profesion keguruan.
Tujuan PBS kali
ini dijalankan bagi membincangkan hasil aktiviti PBS semasa interaksi kuliah
dalam kursus asas pendidikan iaitu Murid dan Pembelajaran. Segala maklumat berkaitan
Murid dan Pembelajaran menjadi intipati dalam tugasan PBS kali ini. Oleh itu, saya
merancang untuk menjalankan pemerhatian, temu bual dan membuat perbincangan
tentang alam persekolahan dan persoalan yang diperlukan dalam tugasan kerja
kursus kali ini. Tugas hakiki yang sudah pasti adalah melengkapkan portfolio
sepertimana garis panduan yang disenarikan oleh Unit Praktikum. Lantaran itu,
sebelum menjalani PBS, saya perlu mengenal pasti borang-borang penting yang
perlu difahami dan diisi bagi memudahkan proses semasa PBS berlangsung nanti.
Selain itu, refleksi
perlu dibuat setelah PBS ini dijalankan bagi menyemai kembali pemahaman tentang
tugas dan tanggungjawab seorang guru. Ini merupakan salah satu instrumen
penilaian kendiri bagi mendapat pengajaran daripada hasil PBS yang dijalankan.
Setelah itu, pengalaman yang diperoleh perlulah didokumentasikan untuk
perbincangan semasa sesi refleksi di IPG nanti. Memang tidak dinafikan
pengalaman pertama kali PBS seorang diri menimbulkan perasaan gentar. Namun,
PBS ini adalah landasan untuk membiasakan suasana persekolahan dan cara PdP
berlangsung dengan sebenarnya. Oleh itu, tidak menjadi masalah jika saya
ditempatkan untuk mengajar di kawasan bandar mahupun di kawasan pedalaman
kerana pengalaman PBS cuba mengajar kita untuk lebih mahir dalam bidang
perguruan.
Sebagai intiha bicara, saya akan menjalankan PBS di SK Taman Ehsan Selangor
bermula 26.03.2018 sehingga 30.03.2018. Persediaan rapi perlu diaturkan dari
aspek persepsi komuniti sekolah terhadap kita iaitu cara pemakaian seorang
guru, tingkah laku dan adab berkomunikasi supaya melambangkan perwatakan
seorang guru yang bersahsiah terpuji. Setelah berjaya mendekati komuniti
sekolah, barulah strategi pelaksanaan diatur untuk mencapai objektif tugasan
PBS. Akhirnya, membuat penilaian kendiri dari aspek yang perlu diperbaiki dalam
diri kita sebagai bakal guru. Amatlah diharapkan bahawa saya dapat menjalankan
PBS dengan sebaik mungkin dan melengkapkan tugasan dengan cemerlang.
2.2 Semasa PBS
Semasa sedang
menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah melakukan beberapa
pemerhatian mengenai sekolah yang telah saya pilih. Saya telah melakukan kajian
mengenai pengurusan sekolah. Sekolah ini diuruskan oleh 4 orang pentadbir yang
berkarisma dan berwibawa dalam memastikan pengurusan sekolah berjalan dengan
lancar. Jawatan-jawatan penting seperti Guru Besar, Penolong Kanan 1,Penolong
kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum dipegang oleh guru lelaki
serta seorang guru perempuan. Guru-guru yang mengajar di sekolah ini juga
majoritinya adalah guru wanita.
Semasa menjalani PBS, saya telah melakukan beberapa
pemerhatian mengenai pengurusan bilik darjah, dengan kerjasama yang diberikan
pihak sekolah saya dapat memasuki kelas 5 Bestari dan 3 Bestari. Setiap darjah
hanya mempunyai 1 kelas setiap satu kecuali darjah 6 mempunyai 2 buah kelas.
Melalui pemerhatian tersebut, saya dapat menyelesaikan sebahagian soalan yang
berkaitan dengan tugasan PBS. Bagi menyiapkan keseluruhan tugasan ini, saya
turut menemubual guru kelas tahap dua serta guru penanda kertas peperiksaan
UPSR bagi menjawab soalan yang terdapat dalam tugasan tersebut. Selain itu,
semasa PBS juga saya turut melakukan tugasan Psikologi Pendidikan EDM 2203,
tugasan ini mengkehendaki saya melakukan perbezaan murid ekstrovert dan juga
introvert.
2.3 Selepas
PBS
Selepas
menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah, saya telah mengumpul dan
mengemaskinikan maklumat-maklumat yang telah saya berjaya kumpulkan semasa
menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Saya turut menjumpai beberapa ilmu
pengetahuan yang berguna dan boleh saya gunakannya di masa hadapan kelak. Saya
telah mempelajari mengenai teknik bertanya yang betul dan berkesan yang boleh
digunakan apabila ingin mendapatkan sebarang maklumat daripada mana-mana pihak.
Teknik bertanya yang betul dapat membantu saya untuk memperolehi maklumat yang
saya perlukan dengan cepat dan mudah. Berdasarkan teknik bertanya yang telah
saya perolehi ini, saya dapat simpulkan bahawa apabila kita menghormati seorang
manusia dengan baik, maka kita akan mendapat penghormatan yang setimpal dan
begitulah sebaliknya.
Selain itu,
saya juga mendapat input yang sangat berguna semasa berjumpa dengan Guru Besar,
banyak nasihat yang diberikan kepada saya bagi menjadi seorang guru yang dapat
membentuk dan membantu anak didik yang bakal menerajui negara kelak. Tambahan
lagi, beliau turut mengingatkan saya agar sentiasa berkongsi ilmu yang berguna
agar ilmu yang berada di dada kita sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.
Nasihat beliau, seorang yang kedekut ilmu, seorang yang sangat rugi sebenarnya.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan saya, walau ditempatkan di bandar
mahupun pedalaman, janganlah menganggap semua itu sebagai beban, jadikanlah ia
sebagai satu ibadah kita sesama manusia.
Selain itu, saya juga dapat membuat analisis bahawa
persekitaran sekolah serta pengurusan bilik darjah memainkan peranan yang
penting dalam membina perkembangan murid-murid sama ada dari segi Jasmani,
Intelek, Rohani, Emosi mahupun Intelek. Persekitaran sekolah dan pengurusan
bilik darjah yang menarik dapat mendorong perasaan ingin belajar kepada
murid-murid. Murid-murid akan merasa tertarik untuk hadir ke sekolah dan
seterusnya terdorong untuk belajar. Kemudahan yang mencukupi juga adalah perlu
bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar
dan berkesan. Kemudahan yang tidak
mencukupi akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran yang ingin
dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah.
Tambahan lagi, ruang pembelajaran yang sempit dan tidak
terurus akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang
dilakukan. Keadaan kelas yang mempunyai bilangan murid-murid yang ramai serta
saiz kelas yang kecil akan menimbulkan keadaan tidak selesa kepada murid-murid.
Guru-guru yang masuk ke kelas juga akan merasa tidak selesa kerana terpaksa bergerak
di dalam ruang yang kecil serta terpaksa mengawasi murid-murid yang ramai.